Pengerusi Perbadanan Pembangunan Kampong Bharu, Datuk Affendi Zahari berkata, projek pembangunan tersebut dijangka dilaksanakan selewat-lewat penghujung tahun ini.

Katanya, seramai 258 pemilik atau pewaris unit rumah pangsa tersebut diberi tiga pilihan tawaran pampasan daripada pemaju termasuk mendapat seunit rumah baharu di tapak asal.

“Bagaimanapun dua tawaran lain adalah pemaju bersedia untuk membeli unit rumah setinggi RM599,520 mengikut saiz rumah sekarang.

“Selain itu, pemaju turut menawarkan unit rumah lain untuk pemindahan serta-merta di sekitar Setapak, Gombak dan Sentul,” katanya dalam sidang akhbar selepas hadir pada majlis penerangan cadangan pembangunan semula flat berkenaan di sini.

Yang turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif PKB, Datuk Mahadi Ngah, Pengarah Urusan Platinum Victory, Gan Yu Chai dan Pengerusi Persatuan Kebajikan Penduduk Flat PKNS Jalan Tun Razak, Anwar @ Anuar Liman.

Rumah pangsa berusia 44 tahun itu mempunyai 7 blok, empat tingkat dan dibangunkan di atas tanah berkeluasan 1.42 hektar.

Projek pembangunan bercampur itu meliputi kondomi­nium, servis apartmen, hotel dan pejabat.

Dalam pada itu, Affendi berkata, berdasarkan perbincangan awal, majoriti pemilik dan pewaris bersetuju untuk mene-rima tawaran pertama iaitu mendapat unit baharu di kawasan tersebut selepas empat tahun projek pembangunan siap.

“Keputusan ditangan masing-masing dan saya serahkan kepada mereka untuk membuat keputusan.

“PKB akan cuba membantu dalam urusan hak milik dan waris dan berharap masing-masing dapat membuat keputusan dengan segera,” katanya.

 

Sumber: Utusan