Melalui Pelan Projek Perintis Parcel 2, Kampung Masjid, Kampung Baru, sebanyak 20 lot tanah seluas 1.6 hektar bakal dibangunkan de­ngan pembinaan pejabat korporat, 630 unit kondominium, hotel dan kompleks perniagaan yang dilengkapi tempat letak kereta.

Presiden Persatuan Pemilik dan Waris Tanah (PPWT) Kampung Baru, Mashuti Mat Soom berkata, buat masa ini pihaknya sedang berusaha memeterai persetujuan rasmi bersama pemilik lot tanah terbabit sebelum mencari pelabur dan pemaju yang boleh mereali­sasikan projek berkenaan.

Menurutnya, jika semua berjalan seperti dirancang, projek yang dianggarkan memakan belanja RM2.5 bilion itu akan dimulakan pada tahun 2018 dan siap sepenuhnya tiga tahun kemudian.

“Dalam masa terdekat kami akan duduk berbincang dengan pemilik tanah dan Perbadanan Kampung Baru (PKB) bagi menentukan apakah tindakan lanjutan yang perlu diambil bagi merealisasikan projek ini seperti mewujudkan dokumen rasmi persetujuan pemberian tanah dan berapa komisen yang bakal diterima pemilik untuk setiap tanah yang diberikan.

“Tidak dapat dinafikan sudah ada pelabur menyatakan minat untuk turut serta kerana manfaat ekonomi yang bakal diperoleh. Nilai bangunan setelah disiapkan dianggarkan mencecah RM1.8 bilion,” katanya ketika ditemui dalam Majlis Pelancaran Pelan Projek Perintis Parcel 2, Kampung Masjid, Kampung Baru oleh Menteri Kewangan II, Datuk Johari Abdul Ghani di sini hari ini.

Yang turut hadir, adinda Sultan Selangor, Datuk Seri Tengku Pute­ri Zahariah Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah; Pengerusi PKB, Datuk Affendi Zahari dan Presiden Kesatuan Arkitek Antara­bangsa, Tan Sri Esa Mohamed.

Esa merupakan salah seorang daripada pemilik lot tanah yang akan dibangunkan selain bertanggungjawab menghasilkan kon­­sep bangunan pelan pembangu­nan Parcel 2.

Sementara itu, Johari berkata, semua pihak perlu menerima hakikat yang tidak boleh diselin­dung bahawa Kampung Baru yang majoriti penduduknya adalah Melayu masih mundur jika dibandingkan dengan kedudukannya yang terletak di tengah bandar raya Kuala Lumpur.

Katanya, kerajaan sentiasa mengalu-alukan usaha pihak per­sendirian membangunkan Kampung Baru dan bersedia memberi kelonggaran dari segi caj premium dan cukai selain bersedia menyediakan infrastruktur di kawasan sekitar.

“Kampung Baru sukar dibangunkan kerana pemilik tanahnya yang begitu ramai dan mereka begitu berhati-hati untuk terlibat dalam satu-satu projek pembangunan kerana pelbagai alasan.

“Saya sangat berharap projek ini berjaya sekali gus menjadi ikutan kepada pemilik tanah lain, ketika ini terdapat 1,355 lot tanah di Kampung Baru yang dimiliki oleh 5,000 orang penama. Dari segi infrastruktur kerajaan akan wujudkan perkhidmatan tren Sistem Transit Aliran Ringan (LRT) dan Mass Rapid Transit (MRT) di sini selain membawa masuk projek Lebuhraya Duta-Ulu Kelang Fasa 2 (DUKE 2),” ujarnya.