Aktiviti Terkini: Selama empat hari berlangsungnya Malaysian Urban Forum 2024 (MUF 2024) di George Town, Pulau Pinang, Perbadanan Pembangunan Kampong Bharu (PKB) terus memainkan peranan aktif dalam menyokong agenda pembangunan mampan, khususnya Matlamat 11 SDGs: Sustainable Cities and Communities, yang berkait rapat dengan pembaharuan semula bandar. Penyediaan persekitaran yang mampan dan peningkatan kualiti hidup adalah kunci untuk membentuk komuniti yang sejahtera dan berkualiti.

Acara Side Event bertemakan โ€œPembangunan Semula Bandar melalui Kaedah Wakafโ€ telah diadakan, menampilkan panel-panel berpengalaman dalam pembangunan tanah wakaf, termasuk Wakaf Pulau Pinang (WPP), UDA Land (North) Sdn Bhd, dan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP). Model pembangunan melalui kaedah wakaf ini menawarkan satu alternatif yang berpotensi memberi manfaat kepada pemilik tanah dan komuniti.
Sesi side event ini mendapat sambutan hangat, terpilih sebagai salah satu daripada tiga sesi terbaik di MUF 2024, dengan kehadiran seramai 83 peserta dan 700 penonton dalam talian. Penyertaan PKB dalam forum ini memperkukuh usaha untuk memastikan Kampong Bharu berkembang sebagai sebuah bandar Melayu di Kuala Lumpur yang berdaya huni, berdaya tahan dan mampan, serta bersedia menghadapi cabaran masa depan.