Pengambilan tanah Kampung Baru diteruskan – PPTGWP
KUALA LUMPUR: Pejabat Pengarah Tanah dan Galian Wilayah Persekutuan (PPTGWP) bersetuju pengambilan tanah bagi pembangunan semula Kampung Sungai Baru, Kampung Baru, di sini, diteruskan kerana proses tersebut dilaksanakan dengan sempurna dan majoriti penduduk bersetuju.
Pengarah Tanah dan Galian Wilayah Persekutuan Datuk Muhammad Yasir Yahya berkata projek pembangunan semula itu mendapat persetujuan sebahagian besar penduduk kawasan terbabit dan perjanjian usaha sama sudah ditandatangani antara 192 petak rumah pangsa dan 27 unit rumah teres dengan pemaju.
“Setakat ini, pengambilan tanah telah sempurna dilaksanakan terhadap 72 petak rumah pangsa bagi tujuan pembangunan semula. Pengambilan tanah juga dilaksanakan ke atas pemilik tanah yang tidak menandatangani usaha sama dengan pemaju. Hanya berbaki 37 unit rumah teres sahaja lagi yang masih belum dilaksanakan siasatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, urusan pengambilan tanah adalah berlandaskan peruntukan undang-undang yang jelas, maka pampasan yang mencukupi telah diguna pakai berdasarkan nilai yang diberikan oleh Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Hartanah (JPPH).
“Namun begitu, pihak yang terkilan terhadap nilai pampasan ini masih boleh merayu kepada mahkamah dan mahkamah akan menilai semula pampasan bersesuaian kepada perayu,” katanya.
Dalam pada itu, Muhammad Yasir berkata, Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Shahidan Kassim akan mengadakan pertemuan dengan penduduk terbabit bagi memberi penerangan untuk membolehkan semua yang terlibat dalam situasi menang-menang.
Sementara itu, dalam kenyataan berasingan, Perbadanan Pembangunan Kampong Bharu (PKB) memaklumkan jumlah unit yang sudah selesai proses perolehan tanah dan bersedia untuk pembangunan bertambah kepada 291 unit berbanding 219 (27 lot teres dan 192 flat) selepas penyampaian notis Borang K (Permohonan Supaya Bantahan Dirujukkan Kepada Mahkamah) Akta Pengambilan Tanah 1960 oleh Jabatan Ketua Pengarah Tanah dan Galian Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (JKPTG WPKL).
“Ia membabitkan 264 unit flat dan 27 lot teres bersamaan 88.72 peratus. Pertambahan peratus tersebut membabitkan 72 unit flat selepas borang K dikeluarkan manakala baki 37 lot teres (11.28 peratus), sesi siasatan pengambilan tanah masih lagi ditangguhkan dan belum diserahkan. Perolehan tanah bagi lot teres ini masih belum selesai,” menurut kenyataan itu.
Mengenai dakwaan daripada Jawatankuasa Bertindak Pemilik Rumah Teres dan Flat Sungai Baru yang menyatakan PKB sengaja ‘mendiamkan’ sejumlah 34 pemilik lot teres lain di Sungai Baru, ia adalah tidak benar dan mengelirukan orang ramai.
“Ingin dijelaskan status 34 lot teres (32 lot teres milik individu dan dua lot teres yang terlibat dengan pengambilan tanah untuk jajaran Projek Sistem Kedua Transit Aliran Ringan (LRT) untuk Kuala Lumpur-Jajaran Pasar Seni ke Jalan Damai) adalah tidak terbabit dengan projek pembangunan semula di kawasan Sungai Baru, di sini,” katanya.
Sumber: Berita Harian