Majoriti penduduk Kg Sungai Baru mahu projek disegerakan

story image

Selama lebih enam tahun menanti, majoriti penduduk dan pewaris di Kampung Sungai Baru, Kuala Lumpur, mengharapkan projek pembangunan di kawasan itu dilakukan sesegera mungkin.

Malah mereka mendesak sebarang kontroversi dan dakwaan tidak berasas yang timbil berkaitan isu pembangunan kawasan itu dihentikan.

Pemangku Pengerusi Persatuan Kebajikan Pemilik Harta Kampung Sungai Baru, Sanita Yunus, berkata sudah enam tahun mereka berpindah ke rumah transit di Residensi Kerinchi yang disediakan pihak pemaju seperti dijanjikan.

Kini, katanya, mereka hanya mahu melihat pembangunan projek itu disiapkan secepat mungkin sekali gus menjadikan kawasan itu setanding dengan pembangunan lain di sekelilingnya.

“Selama enam tahun kami tinggal di rumah transit yang disediakan pemaju, kami disediakan kemudahan yang baik, malah kebajikan penduduk juga terjaga sepanjang tempoh itu.

“Apa yang dipersetujui antara majoriti penduduk dan pemaju berjalan dengan lancar, tidak ada sebarang isu untuk digembar-gemburkan lagi.

“Bagi kami desas-desus negatif itu hanyalah di pihak yang minoriti malah penyelesaian sudah dibuat tetapi mereka masih tidak berpuas hati susulan masalah peribadi,” katanya kepada Malaysiakini ketika ditemui, hari ini.

Sanita Yunus

Terdahulu lebih 100 penduduk dan pewaris perumahan Kampung Sungai Baru berkumpul di Residensi Kerinchi bagi menyatakan solidariti terhadap projek pembangunan itu.

Mereka antara lain mengangkat sepanduk bagi mengucapkan terima kasih kepada Menteri Wilayah Persekutuan Dr Zaliha Mustafa dan Perdana Menteri Anwar Ibrahim yang disifatkan menjadi pemangkin penerusan projek berkenaan.

Malaysiakini dimaklumkan seramai 219 pemilik rumah di kawasan itu bersetuju sepenuhnya dengan pembangunan yang dirancang serta menerima tawaran yang disediakan pihak pemaju.

Bagi pemilik rumah pangsa mereka akan diberikan rumah kondominium bersaiz 1,200 kaki persegi dengan kemudahan tiga bilik sebagai ganti.

Bagi pemilik rumah teres pula mereka ditawarkan tiga unit kondominium melalui projek pembangunan berkenaan.

Difahamkan seramai 109 pemilik yang tidak bersetuju dengan projek berkenaan sudah pun diberikan pampasan bernilai antara RM190,000 hingga RM350,000 bagi kediaman jenis flat, manakala RM2.5 juta hingga RM3 juta bagi kediaman jenis teres.

Selain itu, bagi penduduk yang sudah menerima pampasan, mereka juga disediakan rumah sewaan PPRT (Program Perumahan Rakyat Termiskin) oleh pihak berwajib.

Pengerusi Badan Bertindak Majoriti Projek Sungai Baru Mohd Adam Abd Aziz pula berkata, projek pembangunan tersebut memberi manfaat kepada penduduk berdasarkan persefahaman dan perjanjian yang dibuat dengan pemaju.

Katanya, selain mendapat rumah ganti baru apa yang lebih penting tempoh pajakan ke atas rumah terbabit dipanjangkan berbanding apa yang ada pada rumah asal.

“Tempoh pajakan rumah asal 99 tahun, dan kami dan tinggal di situ berpuluh tahun. Jadi dengan pembangunan baru ini tempoh pajakan kembali kepada 99 tahun.

“Ini kelebihan yang kita perolehi selain menikmati pembangunan yang lestari setanding dengan persekitaran sekeliling di kawasan ini,” jelasnya.

Harap sempat merasa

Sebelum ini Malaysiakini melaporkan sekitar 40 penduduk Kampung Sungai Baru enggan berpindah dari rumah mereka kerana tidak bersetuju dengan pampasan ditetap kerajaan iaitu RM400 sekaki persegi.

Seorang pelakon dan penyanyi, Rafidah Ibrahim, 38, antara penduduk yang tidak bersetuju dengan pampasan yang ditawarkan dalam pewartaan pengambilan tanah kampung tersebut pada Jun tahun lalu.

Hazlina Churai Mee

Bagi Hazlina Churai Mee, 52, dia dilahirkan dan membesar di kawasan petempatan tersebut sehinggalah berpindah ke rumah transit bagi memberi laluan kepada projek pembangunan.

Dia yang mewarisi dua buah rumah tinggalkan ibu bapa sangat berharap projek pembangunan itu tidak lagi tergendala.

“Saya lahir dan membesar di sini, selepas berkahwin pun masih di sini dan sampai sekarang pindah ke rumah transit.

“Saya lihat pemaju dah tunaikan apa yang dijanjikan, enam tahun di rumah transit pemaju tanggung. Jadi saya harap projek akan dijalankan secepat mungkin, hentikan fitnah dan harap tak tergendala lagi,” katanya.

Hamidah Esa

Bagi warga emas Hamidah Esa, 78, dia hanya mampu berdoa agar projek yang dirancang tetap berjalan dengan lancar dan sempat merasa apa yang dibina.

“Saya dah berusia, harap sempatlah lihat dan duduk rumah baru nanti. Saya rasa kerajaan sudah buat yang terbaik kepada penduduk di sini,” ujarnya.

Bagi Raja Iskandar Raja Abdul Hamid, 60-an, dia berkata sebagai penduduk dia menginginkan satu pembangunan lestari setanding dengan persekitaran kawasan itu.

“Selama ini saya rasa duduk dalam kawasan yang tak berapa bagus berbanding sekelilingnya yang sudah membangun.

“Tujuan saya menyertai pembangunan ini ialah untuk mendapatkan kemudahan kediaman yang lebih baik untuk masa depan saya dan anak-anak.

“Jadi saya mahukan pembangunan ini berjalan seberapa segera, sebab dah lama sangat tergendala.

“Sebelum ini ada pemilik dah meninggal dunia, ibu bapa meninggal dunia, adik-beradik meninggal dunia tak sempat melihat pembangunan dibuat.

“Jadi saya rasa tak boleh ditanguhkan lagi, itu harapan saya,” katanya.

Sumber: Malaysiakini