Majlis Kesyukuran Dan Bacaan Yasin Sempena Sambutan 125 Tahun Kampong Bharu

2 Januari 2025 | Kenyataan Media

KUALA LUMPUR, 2 JANUARI 2025 – Majlis Kesyukuran dan Bacaan Yasin anjuran bersama Perbadanan Pembangunan Kampong Bharu (PKB) dan Masjid Jamek Kampong Bharu, Kuala Lumpur telah diadakan sempena meraikan sambutan 125 Tahun Kampong Bharu.

Majlis ini bertujuan memohon keberkatan dan rahmat Ilahi agar segala perancangan dan pembangunan pada tahun 2025 dapat dijalankan dengan teratur dalam memberi keutamaan bagi memelihara kepentingan orang Melayu di Kampong Bharu secara inklusif. Di samping itu, majlis ini adalah sebagai tanda penghargaan dan mengenang semula jasa bakti penduduk dalam mengekalkan keunikan, identiti serta legasi yang telah dibina di Kampong Bharu sepanjang 125 tahun penubuhannya.

Turut hadir adalah Yang Berhormat Dr. Zaliha binti Mustafa, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) dan Yang Berhormat Datuk Seri Johari bin Abdul Ghani, Menteri Perladangan dan Komoditi merangkap Ahli Parlimen Titiwangsa serta tetamu jemputan yang terdiri daripada komuniti tempatan, pemimpin penduduk, anak jati Kampong Bharu serta wakil rukun tetangga.

Majlis Kesyukuran dan Bacaan Yasin ini merupakan pengisian program pertama bagi Sambutan 125 tahun Kampong Bharu secara tidak langsung menggalakkan penyertaan komuniti dalam memperkukuh semangat kerjasama, mempererat hubungan sosial dan membangunkan jaringan sokongan dalam kalangan masyarakat. Dalam meraikan ulangtahun ini, pelbagai program/aktiviti yang mengangkat warisan budaya, perpaduan, sejarah serta kepelbagaian sosial telah diatur sepanjang tahun dan akan dihebahkan dalam media sosial PKB dari semasa ke semasa.

Semoga Kampong Bharu terus maju dan berkembang serta berupaya menghadapi cabaran pembangunan dan transformasi bandar dalam memelihara tradisi keunikannya.

Perbadanan Pembangunan Kampong Bharu (PKB)

2 Januari 2025