Pelan Induk Pembangunan Kampong Bharu 2040
Keperluan Penyediaan PIPKB 2040
Perbadanan Pembangunan Kampong Bharu (PKB), selaku agensi di bawah Kementerian Wilayah Persekutuan (KWP) adalah bertanggungjawab untuk melaksanakan dasar, arahan dan strategi berhubung dengan pembangunan di dalam kawasan pembangunan Kampong Bharu.
Fungsi utama PKB di bawah Seksyen 14 (1) (a) Akta Perbadanan Pembangunan Kampong Bharu (Akta 733) adalah:
- Untuk melaksanakan dasar, arahan dan strategi berhubung dengan pembangunan di dalam kawasan pembangunan Kampong Bharu mengikut pelan struktur dan pelan tempatan yang disediakan di bawah Akta (Perancangan) Wilayah Persekutuan 1982; dan
- Untuk bertindak sebagai badan penyelarasan utama berhubung dengan pembangunan, pembangunan semula atau penambahbaikan kawasan pembangunan Kampong Bharu.
VISI
Kampong Bharu Sebagai Pusat Perdagangan dan Petempatan Melayu di Kuala Lumpur
MISI
Membangunkan Kampong Bharu melalui penyertaan bersama oleh pemilik tanah dan semua pihak berkepentingan dengan penekanan terhadap pembangunan yang berupaya meningkatkan sosio ekonomi, mampu dimiliki dan berdaya huni disamping mengekalkan warisan dan budaya masyarakat Melayu di pusat bandaraya Kuala Lumpur
Pembangunan Secara Organik
Pembangunan Kampong Bharu adalah secara organik dimana pembangunan dilaksanakan berasaskan grid yang dibentuk oleh jalan-jalan raya utama sedia ada dan kawasan pembangunan dibahagikan kepada blok-blok pembangunan di dalam grid.
Konsep pembangunan organik ini bertujuan meningkatkan sosio-ekonomi dan kualiti hidup penduduk dimana semua blok-blok pembangunan adalah saling berkait dan menyokong diantara satu sama lain. Kaedah ini untuk memastikan pembangunan dilaksanakan secara mampan dan inklusif melibatkan penyertaan oleh pemilik dan pewaris tanah serta semua pihak berkepentingan.
BLOK PEMBANGUNAN
- Konsep pembangunan organik – Kampong Bharu akan dibangunkan berasaskan grid yang berpandukan kepada jalan-jalan raya utama sedia ada
- Kawasan pembangunan dibahagikan kepada blok-blok pembangunan di dalam grid di kedua-dua kawasan M.A.S dan luar M.A.S.
- Jumlah 44 Blok Pembangunan dengan 38 Blok Pembangunan di dalam kawasan M.A.S dan 6 Blok Pembangunan dicadangkan di luar kawasan M.A.S